Temui Punca Gangguan Bekalan Air Pulau Ketam


KUALA LUMPUR – Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) berjaya menemui lokasi paip pecah yang menyebabkan gangguan bekalan air berulang di Pulau Ketam dan Sungai Lima di Klang, Selangor.

Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred berkata, lokasi paip pecah itu di Sungai Terusan Bagan kira-kira empat kilometer dari Sungai Chandong.

“Kami menemui lokasi itu di Sungai Terusan Bagan pada 3.40 petang semalam. Syabas sedang giat melakukan kerja penilaian tahap kebocoran dan proses pemulihan hanya dapat dikenal pasti selepas itu,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Priscilla berkata, orang ramai boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan Syabas (Puspel) ditalian bebas tol 1-800-88-5252 untuk mendapat maklumat lanjut.

Mynewshub.my semalam melaporkan kejadian gangguan bekalan air bersih kepada penduduk Pulau Ketam dan Sungai Lima pada Ogos lalu berulang lagi.

Ia berikutan satu lagi kejadian paip pecah dikesan berlaku tengahari semalam membabitkan paip bersaiz 400mm jenis High Density Polyethylene (HDPE) yang membekalkan air bersih ke kawasan tersebut.

Sehubungan itu, Syabas sekali lagi mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) Kod Hijau di kawasan Klang dan Shah Alam.

Syabas pada 2 Ogos lalu terpaksa mengaktifkan ERP Kod Hijau di Pulau Ketam dan Sungai Lima berikutan kejadian paip HDPE di dasar Sungai Terusan Bagan, Pulau Kelang pecah.

Posting Komentar